Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
![]() |
MELAKA 26 Nov. - Selain tempat bersejarah di Banda Hilir
yang menjadi destinasi mesti lawat bagi pelancong ke Melaka, rumah-rumah
kampung tradisional Melayu yang indah dan unik di negeri ini juga merupakan
produk pelancongan yang menarik untuk dilawati.
Kebersihan dan keindahan rumah tradisional yang mempunyai
landskap yang menarik menjadikannya tarikan kepada pelancong, khususnya bagi
mereka yang cintakan keindahan seni bina Melayu lama.
Salah satunya yang lebih menyerlah adalah rumah tradisional
Melayu Bukit Palah yang menjangkau usia 90 tahun, kini dihuni oleh pewaris yang
terdiri daripada anak-anak pemilik asalnya, Hamid Sidek dan Hasnah Hasan.
Selain landskapnya yang menarik dan bersih, keunikan rumah
tradisional Melayu Bukit Palah ini ialah kerana ia masih mengekalkan ciri-ciri
seni bina rumah tradisional dengan atapnya yang tinggi dan bertangga batu.
Menurut salah seorang anak pasangan itu, A. Rahman Hamid,
55, biarpun masa telah berubah dan kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia,
namun kesemua mereka sembilan beradik telah diberi amanat agar sentiasa
memelihara nilai asli rumah pusaka mereka itu.
''Arwah bapa yang bersungguh-sungguh ingin menjadikan rumah
ini sebagai rumah tradisional, anda boleh lihat sendiri, dia mengukir hampir
semua bahagian rumah dengan corak asli Melayu pada tingkap dan bumbung rumah.'
''Ada yang selebihnya, kami usahakan bersama-sama
adik-beradik lain demi mematuhi pesanan arwah bapa selepas dia meninggal
beberapa tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di
sini baru-baru ini.
Katanya, selain ukiran dan seni bina tradisional, rumah
tersebut juga dihiasi dengan pelbagai barangan antik yang dikumpul oleh bapa
mereka dan kini diwarisi oleh anak-anaknya yang lain.
''Bagi menambah koleksi barangan antik milik bapa, saya akan
mencari ke merata-rata tempat untuk membeli barang antik semata-mata mahu
meningkatkan keistimewaan rumah pusaka ini," katanya.
Kata A. Rahman, bapanya mendapat idea untuk menjadikan rumah
itu sebagai rumah tradisio'nal Melayu bermula sekitar tahun 2001 apabila ia
sering mendapat kunjungan dan lawatan pelancong asing yang tertarik dengan
kebersihan serta keindahan lanskap rumah di situ.
Ujarnya, akibat ketiadaan sumber kewangan yang cukup,
bapanya menyatakan hasrat tersebut kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali
Rustam yang kemudiannya tanpa berlengah lagi mengarahkan Perbadanan Muzium
Melaka (Perzim) menjalankan kerja-kerja pemugaran rumah tersebut agar menjadi
lebih menarik.
''Setelah beberapa tahun dijadikan sebagai rumah tradisional
Melayu dan selepas menjalani beberapa kerja-kerja pemugaran, keaslian rumah ini
tetap terpelihara, jika anda lihat bangunan rumah ini berwarna kuning,
begitulah keadaannya sejak lebih 90 tahun lalu," katanya.'
Dia turut melahirkan harapan agar pihak berkuasa terbabit
dapat menyediakan kawasan tempat letak bas pelancong yang lebih sesuai di kawasan
itu berbanding pada masa ini, pemandu terpaksa meletakkan kenderaan di tepi
jalan sehingga kadang kala membahayakan keselamatan pelancong.
Sementara itu, menurut adik perempuannya yang juga penjaga
rumah itu, Zainab Hamid, 50, hampir setiap hari rumahnya itu didatangi
pelancong asing dari pelbagai negara semata-mata ingin melihat keindahan dan
keunikan seni bina rumah tradisonal Melayu.
''Bagi memastikan landskap dan kawasan rumah sentiasa
bersih, saya perlu membersih dan memastikan keadaan rumah sentiasa terjaga,
lagi pun, inilah pesan arwah bapa buat kami adik beradik.
''Bapa mahu rumah pusaka ini terus kekal menjadi rumah
tradisional dan tidak sesekali kami mengubahnya menjadi rumah biasa atau rumah
moden, agar keasliannya terus terpelihara sehingga satu generasi ke generasi
berikutnya," katanya.
Rumah pusaka itu, kata Zainab, selain menjadi tumpuan
pelajar universiti menjalankan kajian mengenai seni bina rumah tradisi, ia juga
pernah dijadikan lokasi penggambaran untuk video klip beberapa artis tempatan
antaranya Siti Nurhaliza.
© Utusan Melayu (M) Bhd